Friday, April 11, 2008

PERTISA

Pengenalan.

Sejarah penubuhan Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA)

IDEA untuk menggabungkan semua artis tempatan di negeri ini sememangnya telah lama wujud, namun disebabkan ketiadaan tindakan, hal ini telah membantutkan keinginan untuk merealisasikan penubuhan sebuah persatuan menaungi para artis.

Tindakan serius hanya bermula apabila LP. Ally @ Raphiel Pinus, yang bertugas sebagai Sub Editor ruangan Bahasa Kadazandusun dan juga seorang wartawan di akhbar New Sabah Times dan sering menulis artikel berkaitan hiburan tempatan mendapat maklum balas positif daripada artis-artis tempatan yang ditemuramahnya.

Setelah mendapat pelbagai pandangan dan dorongan mengenai penubuhan sebuah persatuan daripada rakan-rakan antaranya penggiat seni teater Datu’ Ruslan Sulai, pada April 2002, LP. Ally telah menghubungi penyanyi dan juga pemilik Studio Beverly Universal Music (BUMC) Record, Hyelarry Tommy Sembeh untuk bertemu bagi membincangkan penubuhan persatuan. Turut hadir pada pertemuan itu, Saudara Ariffin Gata.

Susulan daripada pertemuan itu, mereka merangka draf (termasuk undang-undang) penubuhan persatuan seterusnya memutuskan untuk memanggil beberapa penyanyi dan penerbit album untuk pertemuan selanjutnya.

Awal Jun 2002, seramai lapan artis dan penerbit antaranya George Pudon, Hain Jasli, Francis Landong (Bamboo Sound Studio), Hyelarry, LP. Ally dan beberapa yang lain membuat pertemuan susulan bertempat di Bilik Mesyuarat Hotel Hyatt Kota Kinabalu.

Pada pertemuan itu, mereka telah memutuskan untuk menyenaraikan ahli-ahli jawatankuasa (AJK) Penaja persatuan dengan melantik Francis Landong (Presiden), Hyelarry (Timbalan Presiden). LP. Ally pula dilantik sebagai setiausaha sementara merangkap AJK siar raya, manakala George Pudon (Bendahari).

Nama ‘PERTISA’ singkatan bagi ‘Persatuan Artis Tempatan Sabah’ juga telah dipersetujui sebulat suara ketika itu. PERTISA akan menjadi naungan kepada semua artis tempatan dari semua kaum yang ada di negeri ini.

Diputuskan juga bahawa keanggotaan PERTISA juga tidak hanya terhad kepada penyanyi sahaja sebaliknya turut membabitkan pemuzik, pencipta dan penggubah lagu, penulis lirik, pembuat alat muzik (tradisional dan moden), pelakon, pelawak, penari, juruhebah radio, jurutera bunyi, penerbit dan mereka yang termasuk dalam kategori artis.

Pada pertemuan itu, AJK Penaja ini telah mengambil keputusan untuk mewar-warkan perjumpaan dengan semua artis dari seluruh negeri dalam satu perjumpaan khas.

Dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia Kawasan Sabah (RTM) Kota Kinabalu dan akhbar New Sabah Times yang mengumumkan jemputan pertemuan itu yang diadakan pada penghujung Jun 2002 bertempat di bilik mesyuarat TNGC di Jalan Bundusan, Penampang lebih 60 artis dari seluruh negeri telah hadir.

Berikutan sambutan menggalakkan itu membolehkan beberapa keputusan dipersetujui termasuk mengisi kekosongan-kekosongan jawatan untuk ahli jawatankuasa tertinggi dan biro-biro terlibat.

Senarai AJK yang dipersetujui pada pertemuan itu telah dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk diluluskan.

Satu lagi pertemuan diadakan pada Ogos 2002, bertempat di Bilik Mesyuarat Bangunan Hongkod Koisaan (KDCA) Penampang dimana kehadiran melebihi seratus orang seterusnya menganggotai PERTISA.

Petemuan itu juga antara yang bersejarah kerana ketika itu, Datuk Joseph P. Guntavid, Pengarah Muzium Negeri menyerahkan borang keahlian beliau seterusnya menerima tugas sebagai Penaung PERTISA.

Hasil usaha gigih dan sokongan berterusan ahli-ahli persatuan, pada Semptember 2003 berita gembira diterima bahawa pendaftaran PERTISA diluluskan oleh ROS. Dan penerimaan sijil diwakili Timbalan Presiden Hyelarry Sembeh dilangsungkan pada Oktober 2003.

Pada 6 Disember 2003, majlis gilang gemilang pelancaran PERTISA disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Seri Bernard Dompok di Berjaya Palace Hotel, Kota Kinabalu seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung pertama
PERTISA.
Matlamat PERTISA.

Antara matlamat PERTISA ialah:

  • membantu kerajaan Negeri Sabah untuk mempromosikan kebudayaan dan kesenian tempatan kepada para pelancong dalam dan luar negeri.
  • memastikan kesinambungan khazanah seni muzik dan menggalakkan pertumbuhan industri muzik tempatan khasnya di negeri Sabah dan amnya di seluruh negara secara sihat
  • menjaga hak asasi dan kebajikan para artis tempatan
  • memberi khidmat nasihat khususnya yang berkaitan dengan prosedur penerbitan album dan sebagainya.
  • menggalakkan dan meningkatkan mutu ciptaan karya-karya seni tempatan.

Keahlian PERTISA.

Terbuka kepada semua warga negara malaysia yang bermastautin di Sabah lebih daripada 10 tahun dan berumur 18 tahun ke atas. Berminat dalam industri hiburan dan muzik.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi ahli PERTISA boleh menghubungi Datuk Joseph Guntabid, Presiden PERTISA, En. Everitus Gungkit T. Presiden dan AJK yang lain untuk keterangan yang lebih lanjut.

No comments: